Tempat Menarik Dikunjungi Di Melaka

HOMESTAY PANTAI KLEBANG

Kami di Casa Delima Homestay menyediakan perkhidmatan Homestay untuk percutian anda sekeluarga. Homestay kami terletak di lokasi berdekatan Pantai Klebang. Sekiranya anda mencari homestay di pantai klebang atau hotel di pantai klebang, kami menyediakan pilihan homestay terbaik untuk anda. Kelengkapan dan kemudahan yang kami sediakan termasuk peralatan memasak, peti sejuk, setrika, aircond dan banyak lagi. Sangat sesuai untuk percutian dan persinggahan seisi keluarga.

Tempah sekarang >> HOMESTAY PANTAI KLEBANG <<

 

TEMPAT MENARIK DI MELAKA 2018

Sebut sahaja Melaka, pasti anda dapat membayangkan nilai sejarah yang tidak ternilai yang masih utuh tersimpan di negeri ini. Ia menjadikannya sebagai lokasi yang wajib dilawati oleh sesiapa sahaja yang pernah menjejakkan kaki di tanah Semenanjung Malaysia. Setiap tahun Melaka menerima lebih daripada sejuta pelancong yang ingin melihat sendiri nilai tinggalan sejarah yang telah berusia hampir lima abad ini.

Di atas peningkatan jumlah pelawat yang kian bertambah ini, semakin banyak hotel dan homestay dibuka. Ini khususnya di kawasan Pantai Klebang Melaka yang semakin mendapat pemintaan yang tinggi. Kami di Casa Delima juga turut menyediakan homestay yang cukup selesa untuk anda dan keluarga di sini.  Baiklah, mari kami ceritakan kepada anda beberapa lokasi yang menarik yang wajib anda lawati semasa bercuti atau menginap tas urusan kerja di Melaka :

 

Kota A Famosa

Sesiapa sahaja pasti mengenali Kota A Famosa. Walaupun tidak pernah melihatnya secara ‘life’ pasti pernah melihatnya sama ada di buku sejarah ataupun di kaca televisyen. Kerana inilah bangunan yang banyak menyimpan kisah permulaan sejarah tanah Melayu. Kota A Famosa adalah sebuah kubu Portugis yang dibina pada tahun 1511 oleh Afonso de Albuquerque dan tenteranya. Tujuan pembinaanya adalah untuk menyekat serangan musuh yang sentiasa menjadikan Melaka sebagai sasaran mereka kerana kekayaan ekonomi perlabuhannya.

Kota A Famosa merupakan bangunan bersejarah yang dibina dengan senibina Eropah lama. Ia dikelasifikasikan sebagai bangunan tertua yang masih wujud di Asia Tenggara. Sebenarnya, struktur asal kubu ini adalah lebih besar daripada apa yang anda boleh lihat pada hari ini. Runtuhan asalnya masih boleh anda lihat dibeberapa lokasi berhampiran. Bahagian-bahagian lain kubu ini telah diruntuhkan pada tahun 1807 dan hanya Porta de Santiago, iaitu sebuah gate house yang kecil sahaja yang masih teguh berdiri.

Dari pintu kubu ini, anda boleh akses ke puncak kubu yang menempatkan bangunan pemantauan dan pentadbiran kubu di puncaknya. Tangga untuk ke puncak nya agak curam. Anda perlu berhati – hati semasa menaiki tangganya terutama semasa selepas hujan. Dipuncak bukit St. Paul yang menempatkan bangunan utama kubu ini, anda boleh menikmati pemandangan yang memperlihatkan keindahan geografi dan lokasi hampir keseluruhan kawasan Bandar Hilir, Melaka. Dari puncak bukit St. Paul ini juga anda boleh menikmati tiupan angin dari samudera Selat Melaka yang mendamaikan. Anda juga boleh membayangkan kesibukan pantainya dari kejauhan sekitar 400 tahun yang lalu. Di sekitar bangunan ini juga terdapat beberapa kubur lama tinggalan beberapa kuasa penjajah yang pernah menguasai Melaka semenjak kurun ke 14.

Di pintu utama masuk ke kota ini terdapat kumpulan penarik beca yang menawarkan pengalaman menaiki beca untuk anda sekeluarga. Anda boleh alami sendiri ‘perasaan’ mengelilingi Bandar Hilir ini seolah – olah sedang berada di masa permulaan sejarah permodenan Melaka dua ratus tahun yang lalu. Anda boleh memilih pelbagai rekaan beca yang disediakan. Pakej paling murah ditawarkan adalah RM25 untuk sebuah beca dan anda akan dibawa sampai ke the Stadthuys sebelum berpatah balik semula ke Kota A’Famosa.

 

Menara Taming Sari

Untuk menikmati pemandangan 360 darjah memerlukan kita untuk berada di posisi yang lebih tinggi daripada halangan terdekat yang boleh menyekat pandangan kita. Untuk menikmati pemandangan yang seperti ini di Bandar Hilir Melaka, anda perlu berada di Menara Taming Sari, Melaka!. Mencapai ketinggian bangunan setinggi 24 tingkat atau pun bersamaan dengan 153 meter. Menara Taming Sari ini dibuka kepada umum bermula jam 10:00 pagi sehingga jam 11:00 malam.

Menara ini diberi nama bersempena nama keris keramat milik pahlawan lagenda Melaka iaitu Laksamana Hang Tuah. Keris inilah yang digunakan oleh Hang Tuah membunuh sahabat karibnya Hang Jebat yang telah menderhaka kepada Sultan Melaka. Di base menara ini terdapat replika keris yang boleh anda jadikan tempat berselfie. Bersebelahannya pula terdapat bangunan kedai yang menyediakan makanan dan minuman. Uniknya bangunan ini, ia dibina mengikut rekabentuk binaan di zaman kegemilangan kerajaan Melaka.

Setelah anda membuat bayaran RM20 seorang untuk dewasa dan RM10 seorang untuk kanak – kanak, anda akan dibawa ke puncak menara bagi menguji keberanian untuk berada di tempat tinggi. Semasa proses platform naik ke puncak, ia akan berputar. Begitu juga dalam proses turun semula ke base. Anda akan dapat melihat pemandangan dalam putaran 360 darjah. Anda bebas untuk mengambil gambar selfie, wefie, theyfie dan sebagainya. Tetapi anda disyaratkan untuk tidak menggunakan ‘camera’ DSLR atau Compact Camera. Ini adalah kerana pihak pengurusan menara ini telah menyediakan kamera mereka di menara berkenaan. Bagaimanapun, anda akan dikenakan bayaran untuk mengambil gambar yang telah siap dicetak.

 

Rumah Terbalik Melaka

Rumah terbalik adalah salah satu tarikan unik yang boleh anda alami di Bandar Hilir Melaka. Ia menawarkan pengalaman untuk anda menjadi seperti ‘Siperman’ di dalam gambar. Upside Down House ini terletak berdekatan dengan Menara Taming Sari. Anda tidak perlu memandu atau mengambil teksi dari Menara Taming Sari ke sini. Cukup sekadar berjalan kaki. Lebih kurang 100 meter sahaja di seberang jalan. Mula beroperasi sekitar jam 10:00 pagi hingga jam 7:00 malam. Harga tiket yang ditawarkan pula adalah RM 15 untuk dewasa dan RM10 untuk kanak – kanak.

Berbanding Upside Down House di lokasi lain, rumah terbalik Melaka ini berada di dalam bangunan ‘Shoplot’. Ya, di dalam bangunan. Bermakna anda tidak akan dapat berfoto di luaran rumah, tetapi dari bahagian dalaman rumah. Rumah ini terbahagi kepada empat bahagian utama. Iaitu ruang tamu, ruang dapur, bilik air dan bilik tidur. Semua ruangan ini dihiasi sepertimana sebuah rumah biasa. Keunikkanya adalah, segalanya diletakkan secara terbalik. Dalam bahasa mudahnya, segala yang biasanya anda lihat terletak dilantai di rumah biasa, diletakkan di siling di sini. Begitu juga sebaliknya yang mana lampu, kipas, shower pipe dan sebagainya yang biasanya tergantung pada siling dipasangkan pada lantai.

Di sini anda memerlukan dua kemahiran penting iaitu cara memegang kamera dan cara beraksi untuk menampakkan impak ‘melekat’ yang kelihatan realistic. Apa yang anda perlu lakukan adalah, pilih ‘angle’ yang tepat. Memang agak mencabar untuk berdiri dan ‘stay’ pada kedudukan terbalik ini kerana ‘camera man’ anda akan mengambil sedikit masa memilih angle yang betul dalam keadaan anda berposisi yang mungkin agak meletihkan. Bagaimanapun, anda akan lihat hasil yang sangat ‘mengagumkan’ apabila gambar yang di ambil berhasil sepenuhnya. Sekiranya anda datang ke sini sendirian atau berdua sahaja, jangan risau kerana krew Upside Down Melaka yang berpengalaman akan membantu anda mengambil gambar yang ‘super awesome’ tanpa sebarang caj tambahan.

 

Muzium Samudera dan Muzium TLDM

Apabila anda bertandang ke Bandar Hilir Melaka, anda akan disambut oleh sebuah replika kapal yang sangat serupa dengan kapal yang pernah wujud dalam lipatan sejarah negeri Melaka yang digunakan ratusan tahun yang lalu. Ia terletak bersebelahan sungai Melaka dan dinamakan sebagai Muzium Samudera.

Kapal yang terbuat daripada bahan kayu keras ini dibina mengikut saiz sebenar dan anda boleh memasukkinya. Di dalam kapal ini dipamerkan atifak sejarah dan paparan kisah perdagangan di zaman kegemilangan Melayu Melaka. Terdapat syiling matawang sebenar yang digunakan pada zaman tersebut, senjata termasuk senapang Potugis dan Belanda, barang dagangan seperti rempah ratus dan banyak lagi dipamerkan di dalam kapal ini. Anda boleh bergambar dan merasai sendiri bagaimana berada di dalam kapal pada zaman silam. Muzik latar belakang juga turut dimainkan mewujudkan suasan seolah – olah anda sedang berada di dalam kapal perang.

Terdapat sebuah lagi muzium yang berhampiran dengan Muzium Samudera iaitu Muzium TLDM. Di dalam muzium ini terdapat beberapa buah kapal perang dan kapal selam yang pernah digunakan dalam mempertahankan kedaulatan negara. Di dalam bangunan utama muzium ini ditempatkan artikel sejarah dan peralatan yang digunakan di dalam operasi tentera laut negara sejak daripada zaman sebelum merdeka lagi. Selain menerangkan tentang proses pentadbiran keselamatan sempadan laut negara, terdapat juga peralatan komunikasi dan sebuah helicopter sebenar yang boleh anda sentuh dan lihat secara dekat di dalamnya.

Bersebelahan bangunan ini juga terdapat sebuah kapal perang moden iaitu EX KD Sri Terengganu. Untuk memasuki bangunan ini, anda perlu menaiki tangga besi yang agak tinggi. Di tangga masuk juga diletakkan sebiji bom kapal perang yang telah dinyah aktifkan. Anda boleh bergambar kenang – keangan sambil memeluk bom sebesar dua pemeluk ini. Di dalam kapal pula anda boleh melihat sendiri binaan dalaman dan ruangan yang kelihatan agak sempit yang pernah menempatkan kelasi kapal TLDM.

 

Melaka River Cruise

Tidak sah jika anda ke Melaka tanpa menaiki bot persiaran Melaka River Cruise. Ini kerana pengalaman yang disediakan sukar untuk anda nikmati di tempat lain pada kadar harga yang ditawarkan di sini. Sungguh jimat untuk sebuah pengalaman yang sangat menghiburkan. Anda akan di bawa bersiar – siar sepanjang Sungai Melaka untuk melihat keindahan binaan dan seni kreatif silam yang terdapat di sepanjang tebingan Sungai Melaka.

Perjalanan dengan bot ini akan bermula dari jeti Muara yang terletak berhadapan dengan Samudera Square. Kemudian anda akan dibawa sehingga ke jeti Taman Rempah, melalui laluan di bawah jambatan kecil Dutch Fort ke Jonker Walk, melalui jambatan Chan Koon Cheng Bridge, pesisir Kampung Jawa, Jambatan Hang Tuah dan anda akan berpatah balik ke jeti Muara. Perjalanan bot ulang alik ini mengambil masa lebih kurang 30 minit. Semasa dalam perjalanan, audio akan dimainkan bagi menerangkan maklumat sejarah berkenaan setiap lokasi yang dilalui.

Melaka River Cruise ini beroperasi pada dua waktu. Iaitu pada waktu siang dan waktu malam. Melaka River Cruise beroperasi mulai jam 9:00 pagi sehingga jam 11:30 malam. Pemandangan pada waktu malam lebih mendamaikan kerana terdapat lampu neon yang berkelipan disepanjang laluan. Walaupun begitu, bagi yang sukakan fakta sejarah, adalah lebih baik mengambil perjalanan pada waktu siang kerana lebih mudah untuk anda perhatikan dengan jelas setiap struktur binaan yang terdapat di sepanjang laluan tersebut. Harga yang ditawarkan adalah RM10 untuk dewasa manakala RM5 pula untuk kanak – kanak. Sekiranya anda berniat untuk menyewa bot khas untuk satu perjalanan, caj yang dikenakan adalah bernilai RM400.

 

Muzium Kapal Selam

Kapal selam yang terdapat di muzium ini adalah FS Ouessant Agosta 70. Muzium yang juga diebut sebagai Submarine Museum ini terletak beberapa minit perjalanan dari Pantai Rekreasi Klebang. Kapal selam ini adalah kapal selam perang yang sebenar dan ditempatkan di sini mulai tahun 2012 yang lalu. Beroperasi setiap hari termasuk pada hari Sabtu dan Ahad mulai jam 9:00 pagi hingga jam 5:00 petang. Harga tiket yang dikenakan di sini juga sangat murah iaitu RM3 untuk dewasa dan RM1 untuk kanak – kanak.

Pada asalnya, kapal ini dahulu digunakan untuk tujuan latihan oleh kru Kelas Perdana Menteri TLDM. Kapal selam ini adalah kepunyaan Tentera Laut Perancis dan telah dibeli oleh kerajaan Malaysia. Dengan saiz sepanjang kira – kira 70 meter, kapal selam ini lebih panjang berbanding kapal yang terdapat di Muzium Samudera. Dibahagian bawah kapal sebelum anda menaiki anak tangga untuk memasuki bahagian dalaman kapal, terdapat ruang tayangan yang mengisahkan tentang fungsi dan proses pemindahan kapal selam ini ke Pantai Klebang Melaka.

Di bahagian dalaman kapal ini terbahagi beberapa ruang yang agak sempit. Bermula dari ruangan enjin, ruangan pelancar peluru Torpedo, ruangan bilik tidur sehinggalah ruangan pengemudi kapal. Jangan terkejut jika anda terserempak dengan patung – patung anak kapal yang sengaja diletakkan dibeberapa lokasi bagi menghidupkan suasana sebenar kapal selam tersebut. Bahagian kawalan kapal selam ini dilengkapi dengan meter – meter analog kerana ia dibina pada era 70 an yang mana teknologi digital belum lagi diperkenalkan pada masa tersebut. Anda akan mengambil masa sekitar 5 minit sahaja untuk melihat keseluruhan bahagian dalaman kapal selam ini.

Selesai melihat bahagian dalaman kapal selam, anda boleh meneruskan lawatan ke ruangan pameran pesawat jet pejuang yang terletak bersebelahan kapal selam ini. Terdapat dua buah jet bersama pakaian lengkap juruterbang dipamerkan di sini. Anda boleh melihat dengan lebih dekat binaan jet tersebut malah boleh menyentuhnya.

 

The Stadthuys

The Stadthuys pada suatu ketika dahulu merupakan sebuah dewan bandaran di zaman pemerintahan Belanda di negeri Melaka. Ia menjadi simbolik kepada negeri Melaka selepas bangunan Kota A Famosa. Setiap pelancong wajib mengambil gambar atau berselfie di sini. Turut dikenali sebagai ‘Bangunan Merah’ The Stadthuys yang terletak di Jalan Laksamana, Bandar Melaka ini tidak pernah putus daripada dilawati pelancong sama ada dari dalam atau pun luar negara.

Dibina pada tahun 1650, ia pernah menjadi penempatan Gabenor dan Timbalan Gabenor Belanda. Pada asalnya, bangunan ini terletak di dalam kubu Melaka. Bagaimanapun kubu ini telah dimusnahkan tanpa meninggalkan sebarang kesan oleh British semasa berlakunya perang Napoleon. Bangunan selebar 30 meter ini juga pernah menempatkan Pejabat Setiausaha, bilik sembahyang, ruang makan, rumah tetamu, rumah hamba, rumah Ketua Merchant, penjara, pejabat perdagangan, gudang, dan halaman bakeri. Di hadapan bangunan ini terdapat menara jam yang juga berwarna merah salmon.

Sepertimana bangunan lain di bawah penjajahan Belanda, bangunan ini pada asalnya berwarna putih. Sebab mengapa bangunan Stadthuys ini di cat dengan warna merah oleh pihak British, masih lagi meninggalkan tanda tanya sehingga ke hari ini. Pada hari ini bangunan tersebut kini menempatkan Muzium Sejarah dan Etnografi, Galeri Laksamana Cheng Ho, Muzium Sastera, Muzium Pemerintahan Demokrasi, dan Muzium Yang Di-Pertua Negeri. Paparan harian muzium ini ialah pakaian pengantin tradisional dan artifak dari zaman kegemilangan Melaka. Caj yang dikenakan untuk memasuki bangunan ini adalah RM5 untuk dewasa dan RM2 untuk kanak – kanak.

 

Jonker Walk

Jonker Walk yang terletak berhampiran Sungai Melaka terkenal dengan galeri-galeri seni, kedai-kedai barangan antik termasuk kedai yang menjual hasil tangan tukang emas, tukang jam, pembuat terompah dan pembuat kasut bermanik, selain kedai makanan yang bervariasi dan banyak lagi. Untuk menikmati pemandangan sambil membeli – belah cenderamata di sini, anda boleh memilih sama ada untuk berjalan kaki atau menaiki beca yang terhias dengan kerdipan lampu berwarna – warni. Dibuka seawal jam 5:00 pagi hingga jam 12:00 tengah malam, pasar unik ini hanya beroperasi pada hujung minggu sahaja ia mulai hari Jumaat sehinggalah hari Ahad.

Sekitar Jonker Walk terdapat Jalan Tukang Emas yang menempatkan tiga rumah ibadat tiga kaum terbesar di Melaka satu ketika dahulu iaitu masjid, kuil dan tokong. Keberadaan tiga tempat ibadat tiga kaum utama ini di laluan yang sama membuktikan keharmonian kaum yang telah wujud ratusan tahun dahulu di kalangan masyarakat yang berbilang kaum. Di sini juga berdirinya sebuah masjid iaitu Masjid Kampung Hulu yang dibina pada tahun 1720. Senibinanya adalah manifestasi daripada gabungan senibina Melayu, Cina dan Hindu. Mimbarnya berbentuk Pagoda.

Tiada sebarang bayaran dikenakan sekiranya anda ingin ke Jonker Walk. Bagaimanapun anda tidak dibenarkan membawa kenderaan kerana laluan Jonker Walk agak sempit dan akan ditutup sekitar jam 6:00 petang pada hari ia beroperasi. Bagi yang muslim, terdapat pelbagai pilihan cenderamata yang boleh anda beli di sini tetapi bukan makanannya. Ini kerana rata – rata peniaga makanan di sini adalah berbangsa Tiong Hua dan hampir tiada makanan halal disediakan.

 

Zoo Melaka

Zoo Melaka merupakan zoo kedua terbesar di Malaysia selepas Zoo Negara di Kuala Lumpur. Zoo ini menjadi habitat dan kediaman bagi lebih 1,200 haiwan yang terdiri daripada 215 spesies haiwan. Zoo yang bertaraf lima bintang ini mempunyai pelbagai tarikan yang tersendiri termasuklah menempatkan badak Sumatra yang diancam kepupusannya. Selain itu, terdapat juga spesies-spesies unik lain yang menjadi tarikan pengunjung khususnya bagi pelancong luar negara, seperti gajah Asia, kuda liar, harimau Malaya dan sebagainya. Bayaran masuk yang dikenakan sekitar RM10 untuk dewasa dan RM7 untuk kanak – kanak di bawah umur 12 tahun.

Suasana di dalam zoo ini di reka seakan – akan kawasan hidupan liar yang sebenar di hutan hujan tropika. Di sini anda dapat melihat haiwan – haiwan yang bergerak bebas di habitat masing –masing. Antara aktiviti menarik yang terdapat di sini termasuklah menunggang kuda dan gajah yang sering diadakan pada jam sekitar 10 pagi hingga 12 tengah hari dan dari jam 2 petang hingga jam 4 petang. Selain daripada itu, di sini juga terdapat kompleks Big Cat atau Harimau Besar yang menempatkan beberapa spesies harimau yang bersaiz besar. Bermula daripada harimau belang sehinggalah harimau bintang.

Sekiranya anda berminat dengan rancangan tv seperti Safari di Afrika, di sini anda boleh merasai sendiri pengalaman ‘Night Safari’ nya. Safari ini hanya diadakan pada hari Jumaat, Sabtu dan hari cuti sekolah sahaja. Ekspedisi yang bermula jam 8:00 malam hingga 11:00 malam ini akan membawa anda melakukan perjalanan safari dengan menaiki trem dengan bayaran serendah RM5 seorang.

 

Australia Village @ Masbro Village

Masbro Village adalah salah satu daripada kemudahan penginapan ala homestay yang unik yang terdapat di Melaka. Seni bina bangunan homestay nya berbentuk segitiga yang disusun sebaris diilihamkan daripada pondok-pondok yang terdapat di pantai peranginan Australia. Bagi menambahkan lagi suasana Australianya, ruang halaman Masbro Village ini juga dihiasi dengan rumput karpet dan pokok Rhu.

Setiap homestay ini boleh memuatkan empat hingga enam orang dewasa. Homestay dua tingkat ini menyediakan satu set ‘sofa bed’ di tingkat bawah dan dua buah katil bersaiz queen di tingkat atas. Masbro Village ini juga dilengkapi dengan ruang tamu, ruang makan, perabot seperti kerusi sofa dan TV, penghawa dingin, dua bilik air berserta water heater, dan kelengkapan dapur. Parking kereta turut disediakan dan homestay ini juga selamat kerana ia berpagar.

Terdapat lebih kurang 20 unit homestay di sini yang dibina menghadap sebuah kolam renang yang bersaiz lebih kurang 20 x 10 kaki. Suasana di homestay yang terletak tujuh kilometer daripada Bandar Melaka ini mempunyai pemandangan yang sangat mendamaikan pada waktu malam. Berapa pula harga yang dikenakan untuk bermalam di sini? Ia bermula pada harga RM280 untuk seunit bagi dua hari satu malam.

 

Bustel

Bustel pernah menjadi viral di awal masa ia dikomersialkan dahulu. Sebanya, ia memang tersangat unik. Bustel merupakan hotel yang dibina di dalam Bas iaitu BUS + hotel. Penginapan unik ini terletak di Pantai Klebang, Melaka. Terdapat lebih kurang 15 buah bas terpakai yang telah dikitar semula dan diubahsuai kepada hotel mini disediakan di sini. Di dalam Bustel ini terdapat fasiliti asas sebuah hotel yang lengkap.

Hotel daripada bas terpakai ini dihimpunkan di kawasan luas beberapa meter dari jalan utama Pantai Klebang. Berhampiran dengannya terdapat deretan gerai yang menyediakan pelbagai juadah enak yang berasaskan menu makanan masyarakat Melaka. Bilik hotel bas terpakai ini tidaklah sehebat hotel biasa. Namun menginap di situ menjanjikan pengalaman yang sukar dilupakan, khususnya bagi mereka yang sukakan pengalaman mencuba sesuatu yang unik. Pemandangan matahari terbenam yang indah boleh dinikmati di waktu petang di lokasi ini.

Setiap bilik Bustel ini boleh memuatkan empat orang dewasa dalam satu-satu masa. Ia dilengkapi dengan sebuah katil bersaiz queen bed atau anda juga boleh memilih untuk mendapatkan dua katil single bed. Seperti juga hotel yang lain, biliknya turut disediakan dengan selimut & bantal, penghawa dingin, almari solek, almari pakaian, flatscreen TV, dua helai tuala dan juga sejadah. Harga bayaran penginapan yang ditawarkan adalah RM80 pada hari biasa manakala RM120 pada hujung minggu untuk sebuah Bustel.

 

PANTAI KLEBANG

Pantai Klebang merupakan salah satu daripada pantai-pantai yang terdapat di negeri Melaka. Meskipun tidak gah seperti pantai – pantai perlancongan terkenal yang lain, ia tetap menjadi tarikan pengunjung. Ini disebabkan lokasinya yang lebih strategik iaitu lebih dekat dengan bandar Melaka dan lebih mudah dikunjungi, secara tidak langsung ia menjadi pantai yang popular di Melaka.

Pantai Klebang ini adalah pantai yang berada di posisi teluk dan mempunyai hamparan pantai pasir yang sangat luas. Kelebaran pantainya yang rata membolehkan pelbagai aktiviti riadah keluarga di tepi pantai boleh dilaksanakan. Antara yang kerap terlihat di sini adalah bersantai, bermain layang – layang, mandi –manda, membina istana pasir dan berkejaran dengan buih belon untuk kanak – kanak.

Pada hujung minggu pula aktiviti di sini lebih meriah. Antara aktiviti lain yang disediakan termasuklah menunggang kuda padi, menaiki kenderaan lasak ATV dan pengalaman berkereta kuda. Ombak laut di sini tidak sekuat ombak di pantai yang lain kerana ia tidak menghadap terus lautan terbuka. Ini menjadikan ia sangat selamat untuk kanak – kanak bermain di gigir air. Kawasan pantai Klebang ini boleh dikunjungi di awal pagi sehinggalah jam 7:00 petang. Tiada bayaran dikenakan untuk beriadah di sini.